Waktu


Hari Terbuka SKPR Dan Mesyuarat Agung PIBG Yang Ke 37

| Friday |




Paya Rumput,27 Januari : Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari Khamis yang permai kali ini, para pelajar darjah 2, 3,4,5 dan 6 bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka.

Seawal jam 8 pagi, kenderaan ibubapa mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan akhir tahun 2010 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.

Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka sementelah masing-masing bakal menduduki peperiksaan nanti. Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.
Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SKPR. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah bijak dengan memberi peringatan serta menahan rekod keputusan peperiksaan para pelajar yang tidak hadir bersama ibubapa. 

Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SKPR tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.


Mesyuarat Akuatik MSSNM di SKPR

| Thursday |



Paya Rumput, 21 Januari 2011; Mesyuarat Akuatik MSSNM telah diadakan pada pukul 3.00 ptg. Seramai lebih kurang 60 orang guru/pengurus pasukan sekolah yang hadir dalam mesyuarat tersebut. Mesyuarat bertujuan menerangkan syarat-syarat berkaitan pertandingan dan penyerahan borang penyertaan. Majlis berakhir kira-kira pukul 5.00 ptg.


Larian Merentas Desa Tahun 3,4,5 dan 6

| Friday |



Acara Merentas Desa ini telah diadakan pada 20.01.2011,Khamis( 4.00 ptg) Acara ini telah disertai oleh murid-murid tahun 3,4,5 dan 6 yang mana mewakili rumah sukan masing-masing. Aktiviti merentas desa merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai acara pembukaan aktiviti unit kokurikulum sebelum Kejohanan Olahraga Tahunan berlangsung. Dengan perlancaran aktiviti ini, maka ia dapat menyemarakkan lagi semangat murid-murid untuk mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga tahunan dan aktiviti-aktiviti sukan yang akan diadakan nanti.
Selain itu, aktiviti ini adalah bertujuan untuk mengesan bakat-bakat baru di kalangan murid-murid. Acara penyampaian hadiah telah diadakan sebaik sahaja tamat larian. Ia disempurnakan oleh PK Pentadbiran Pn. Norsha Bt. Md. Said dan PK Kokurikulum.


Majlis Perpisahan GPK HEM

| Saturday |




14 Januari 2011 merupakan hari terakhir perkhidmatan seorang GPK HEM yang begitu berdedikasi di SKPR. Beliau yang dimaksudkan ialah Puan Rohaila Bt Ibrahim. Beliau telah mengajar di SKPR dari tahun 2008 lagi namun terpaksa berpindah kerana perkhidmatannya diperlukan di PPD. Beliau sekarang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah.
Pihak SKPR mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa bakti beliau selama berkhidmat di sekolah ini. Sesungguhnya, perpindahan beliau amat dirasai yakni kerana beliau merupakan seorang yang begitu rapat dengan semua guru. Celoteh dan suaranya selalu berkumandang di corong pembesar suara sekolah apabila mengumumkan sesuatu perkara. Beliau adalah seorang yang amat tegas dalam menjalankan tugasnya, namun sangat baik hati pada luarannya.
Sekali lagi kami warga SKPR mengucapkan terima kasih dan selamat bertugas di tempat baru kepada beliau. Semoga perhubungan dan silaturrahim tetap diteruskan biar pun kini telah berlainan tempat menabur bakti.


Kursus Kepimpinan Pengawas

| Tuesday |



Kursus Kepimpinan Pengawas telah dijalan pada hari Sabtu (08.01.11). Pengawas sekolah merupakan sekumpulan pelajar yang dilantik khas oleh pihak sekolah untuk membantu dalam pengurusan disiplin pelajar. Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Badan Pengawas Sekolah yang bertanggungjawab mengadakan kursus kepimpinan terhadap pengawas-pengawas sekolah yang dilantik ini. Seramai 219 orang pelajar telah mengikuti kursus ini iaitu terdiri daripada 69 orang pengawas sekolah, 89 orang pengawas pusat sumber dan 61 orang pengawas kebersihan. Kursus ini dikendalikan oleh Nazari Md. Isa dari Nazela Traning.

Kursus ini perlu diadakan untuk memberi pendedahan serta perkongsian pengalaman di samping mendapat kemahiran-kemahiran yang boleh membantu mereka dalam menjalankan tugas sebagai pengawas dengan berkesan dan bertanggung jawab. Pelajar-pelajar yang dilantik sebagai pengawas perlu diberi latihan kepimpinan supaya mereka :mahir menguruskan masa dengan berkesan,mempunyai kemahiran untuk melaksanakan peranan mereka sebagai pengawas dan mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang baik agar pelajar-pelajar lain dapat menerima dan menghormati mereka sebagai pemimpin sekolah.


Selamat Tahun Baru 2011

| Monday |


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Detik..demi detik, hari demi hari,hingga bulan demi bulan telah mengusung banyak cerita, suka dan duka..menjadi warna-warni dalam hidup kita, tapi biarkan semua menjadi kenangan yang terpahat,kini tahun baru telah menyambut kita, masanya kita mengemas kegagalan menjadi kesuksesan, kita buka lembar kisah baru dengan semangat dan keceriaan Selamat tahun baru 2011  dari kami warga SKPR. Harap masih belum terlambat lagi bagi kami mengucapkan ucapan selamat tahun baru. Semoga apa yang dihajati pada tahun 2010 telah dicapai, kita mulakan tahun baru 2011 ini dengan niat yang baru dan azam yang baru. InsyaAllah semoga apa yang diimpikan akan tercapai dengan berbekalkan usaha dan tawakal. Amin.


Pautan

Speed Test

Test your Internet connection speed at Speedtest.net

Followers